Online Diary CeRekA aKu & kaMi

Tuesday, March 9, 2010

Jelaskan perubahan institusi penghulu akibat campur tangan British pada tahun 1874.

Intitusi sosial masyarakat Melayu sebelum campur tangan British di Tanah Melayu pada tahun 1874 adalah terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan
pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah yang bertanggung jawab mentadbir negeri, wilayah, serta kawasan masing-masing adalah terdiri daripada pemerintah tertinggi iaitu Sultan, dan diikuti oleh kerabat diraja, bangsawan, pembesar, serta penghulu. Kesinambungan institusi pemerintahan tersebut telah dicemari dengan tindakan campur tangan British memberi kesan serta perubahan terhadap sistem pemerintahan Melayu tradisional termasuklah institusi penghulu.
Penggawa merupakan panggilan atau gelaran bagi penghulu di sesetengah negeri, sebelum berlakunya campur tangan British adalah berperanan sebagai pentadbir bagi sesebuah kampung yang merupakan unit politik terkecil.
Penghulu memainkan peranan penting dalam masyarakat Melayu tradisional kerana menjadi perantaraan Pembesar Daerah dengan penduduk di kawasannya. Antara tugas-tugas seorang Penghulu ialah seperti menjaga keamanan kampungnya, menyelesaikan sebarang pertikaian antara penduduk melalui perbincangan iaitu Penghulu akan berperanan sebagai hakim. Penghulu juga bertanggung jawab mengumpul orang atau tenaga buruh untuk berkhidmat kepada Sultan dan juga menjadi tentera dalam peperangan. Tugasan utama bagi penghulu ialah mengutip cukai dan hasil-hasil di kawasannya, selain juga melaksanakan tugas-tugas yang diarah oleh pembesar, serta memastikan rakyat taat setia kepada Raja dan Sultan.
Penghulu juga mempunyai pegawai-pegawai yang bergelar mata-mata untuk membantu menjaga keamanan dalam kampung. Penghulu kebanyakan adalah berasal daripada keluarga tertua di sesebuah kampung itu. Penghulu adalah di bawah kawalan seorang Pembesar Daerah, walaupun beliau dilantik oleh Sultan melalui surat kuasa yang mempunyai cap mohor baginda, namun ia adalah atas nama sahaja kerana Pembesar Daerah yang akan meluluskannya.
Selain itu, Penghulu bukan memimpin semua kampung tetapi hanya kampung-kampung yang jauh terpencil sahaja dan mewakili kuasa Pembesar Daerah di situ. Sumber pendapatan Penghulu sebelum campur tangan British adalah daripada beberapa sumber antaranya ialah hasil daripada kutipan cukai dan hasil-hasil kampung yang diserahkan kepada Penghulu. Hasil-hasil tersebut akan diambil sedikit oleh Penghulu untuk kegunaannya, manakala selebihnya akan diserahkan kepada Pembesar Daerah.
Institusi Penghulu masih dikekalkan lagi selepas campur tangan British, hal ini atas kesedaran British akan kepentingan serta pengaruh Penghulu dalam pentadbiran kerajaan. Kedudukan Penghulu yang lebih rapat dan dekat dengan orang kampung atau rakyat menyebabkan institusi penghulu diberi keutamaan oleh British dalam usaha mendekati rakyat serta membawa perubahan. Di bawah pentadbiran British, peranan penghulu tidak jauh berberbeza di mana ia merupakan agen atau wakil kerajaan yang berperanan sebagai orang perantaraan antara kerajaan British dengan orang kampung.
Kedudukan institusi Penghulu juga mula meningkat di bawah pentadbiran British apabila Penghulu yang dilantik adalah seorang yang berpendidikan dan bertaraf pegawai, serta tidak lagi dilantik berdasarkan warisan yang menjadi tradisi masyarakat Melayu sebelum itu. Seseorang Penghulu itu juga bukan lagi merupakan anak tempatan tetapi seseorang dari daerah atau negeri lain yang ditugaskan oleh kerajaan untuk bertugas di tempat tersebut. Hasil pendapatan Penghulu juga lebih terjamin di mana Penghulu akan diberi gaji serta pencen apabila bersara oleh kerajaan.
Jika sebelum kedatangan British, institusi Penghulu adalah di bawah kekuasaan Pembesar, kedudukan tersebut telah diambil alih oleh Residen dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Majlis Mesuarat Negeri bertanggung jawab dalam pencalonan, perlantikan, pemecatan, penetapan kuasa, dan penetapan tugas dan tanggung jawab Penghulu.
Penghulu yang bertindak sebagai agen kerajaan British menjalankan tugas seperti melaksanakan segala undang-undang kerajaan di kawasan jagaannya dan memunggut cukai bagi pihak kerajaa. Beliau juga dibenarkan menyimpan sebanyak 10% daripada cukai tersebut untuk kegunaan sendiri. Peranan Penghulu dalam menjaga keamanan dan menyelesaikan sebarang pertikaian orang-orang juga tidak berubah. Penghulu akan menjadi hakim dalam kes-kes jenayah kecil yang berlaku di kawasannya. Selain itu, penghulu juga melaksanakan tugas memberi tanah kepada pemohon.
Akhir sekali, dapat disimpulkan bahawa perubahan-perubahan yang dilaksanakan ke atas institusi sedikit sebanyak membawa kebaikan terhadap institusi itu sendiri. Antaranya dengan pengenalan sistem gaji dan pencen, serta peranan penghulu yang diperluaskan lagi. Selain itu, kedudukan seseorang penghulu itu juga tidak lagi dianggap rendah apabila ia dilantik berdasarkan taraf pendidikan seseorang itu bukan bersifat warisan semata-mata. Namun begitu, perubahan-perubahan tersebut tidak disenangi oleh para pembesar tempatan apabila ia memberi kesan terhadap kedudukan mereka. Hal ini apabila Penghulu lebih diberi keutamaan dan peranan oleh British berbanding penbesar dalam menjalankan pentadbiran kerajaan menyebabkan kedudukan serta kuasa mereka terjejas. Sekali gus menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pembesar, yang akhirnya membawa kepada penentangan terhadap British.



...........................................................................................................................................................................


hek3...saje2 try nk jd ckgu sej...jgn marah aa....
huhhu....pe2 pn, hope nota nie brguna kpd ssape yg brkehendakkannyer...
kui3....



~adeQ~
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

0 comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen